• Share on Facebook
  • Tweet
  • Copy URL
  • Post to Tumblr
Jan 28, 1:30 am

Malaysia perlu ubah sistem pendidikan

SHAH ALAM – Malaysia perlu membuka mata untuk mengubah sistem pendidikan negara bersesuaian dengan keadaan semasa penularan pandemik koronavirus (Covid-19) bagi menyelesaikan masalah stres dihadapi anak-anak, ibu bapa dan guru ekoran normal baharu pembelajaran dalam talian (e-pembelajaran) sekarang.

Pakar Motivasi Pelajar dan Ibu Bapa, Fauziah Sirat berkata, pendekatan negara luar memotong kurikulum atau silibus pembelajaran dalam mendepani krisis Covid-19 wajar dicontohi negara ini berbanding masih mengikut sistem lama yang menjadi amalan 100 tahun lalu.

Menurutnya, tindakan proaktif negara luar itu diketahui berdasarkan pengalaman beliau sendiri yang mengikuti persidangan pendidikan secara maya bersama ramai pendidik luar negara ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Katanya, dalam keadaan negara ketika ini kembali melaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) di beberapa lokasi, pendekatan tersebut perlu diperhalusi.

“Antara pendekatan yang negara luar lakukan adalah dengan mereka memotong kurikulum yang asalnya banyak kepada seringkas-ringkasnya sekadar untuk memberikan kemahiran asas kepada anak-anak yang boleh dilakukan secara persendirian di rumah.

“Saya lihat ini merupakan satu tindakan yang bijak sebab bila kita laksnakan e-pembelajaran atau saya lebih suka panggil ‘emergency remote learning’ kita sebenarnya dalam satu situasi belum lagi mahir dalam mempraktikkan kaedah ini,” katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi ke-202 bertajuk ‘PKPB: Belajar dari rumah, siapa lebih stres?’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian malam tadi.

Wacana itu turut menampilkan panelis Ketua Pegawai Pembangunan Latihan&Teknikal Sekolah Sri Aria, Nurul Najmi Mohd Haniffah dan Pendakwah Selebriti, Izzhar Nazri serta personaliti televisyen, Ismail Adnan selaku moderator.

Mengulas lanjut, Fauziah percaya guru-guru di negara ini sekarang juga masih lagi belajar bagaimana nak menjadi guru yang baik dalam e-pembelajar dan tumpuan ketika ini sebenarnya lebih kepada untuk memindahkan kandungan pembelajaran tradisional dalam bilik darjah ke dalam alam maya.

 



© STSB