• Share on Facebook
  • Tweet
  • Copy URL
  • Post to Tumblr
May 10, 2:05 pm

Rakus meraih kepentingan diri punca kepada masalah dunia


T. S. Eliot (1888-1965) adalah seorang penyair moden yang hidup pada kedua-dua zaman perang dunia. Bait-bait puisinya dipengaruhi oleh watak-watak perang dunia tentang bagaimana rakusnya pemimpin dunia yang mengorbankan jutaan anak muda dalam peperangan kerana kemaruk untuk berkuasa semata-mata memenuhi nafsu sendiri namun mereka pandai berselindung disebalik semangat Patriotisma. Selain daripada perang dunia, banyak lagi contoh-contoh penyalahgunaan kuasa yang telah berlaku secara terang-terangan. Sejarah dipenuhi dengan manusia yang melakukan jenayah kejam bagi mengekalkan kedudukan mereka. Ia bukan sahaja berlaku kepada sejarah moden tetapi seawal permulaan tamadun manusia.

Keperluan untuk jadi berpengaruh ada dalam setiap diri manusia, ia berakar umbi pada psikologi kita kerana definasi manusia adalah 'haiwan' yang bersosial dan ia terus berkembang dikalangan masyarakat di mana ada ahlinya akan menjaga serta melindungi satu sama lain daripada ancaman luar. Demikianlah juga, mereka memerlukan sistem hierarki untuk berfungsi di mana satu atau beberapa ahli mereka dipilih untuk diisi jawatan penting dalam kepimpinan dan apabila masyarakat makin berkembang dan mempunyai struktur yang lebih rumit, nafsu untuk meraih pengaruh akan turut berkembang.

Umumnya, manusia boleh mencapai penghormatan melalui kuasa dan pengaruh, status sosial, rasa hormat, kekayaan, kemahiran dan keinginan tinggi untuk membuat impak.

Kerakusan manusia untuk jadi orang dihormati dan disegani akan sering menyebabkan berlaku kerosakan kepada dunia. Keinginan untuk dipandang tinggi, didengari, dan dihormati masyarakat selalunya mengakibatkan penderitaan dan kemusnahan kepada yang lain. Tidak salah mencapai kepuasan diri tetapi jangan sampai mengorbankan orang lain. Kepuasan diri perlu hadir dengan kerendahan hati dan belas kasihan terhadap mereka yang kurang bernasib baik. Dalam mengejar keghairahan untuk jadi orang yang berpengaruh, manusia sepatutnya fokus bagaimana menjalin perhubungan yang harmoni antara sesama manusia kerana naluri hormat dan memberi penghormatan itu memang sifat semulajadi seorang insan.

Sebagai kesimpulan satu kata-kata daripada Walter H. Judd, “Perkara yang penting bukanlah apa yang kita kumpulkan, tetapi apa yang kita sumbangkan.”



© STSB