• Share on Facebook
  • Tweet
  • Copy URL
  • Post to Tumblr
May 11, 4:07 pm

Gaya Hidup Sisa Sifar


Memetik kata-kata Lady Bird Johnson, “Alam sekitar adalah tempat kita bersatu; tempat dimana kita meraih minat yang sama; dan kita harus berkongsinya.”

Kebelakangan ini, kadar kemusnahan alam sekitar kita telah meningkat secara drastik. Sumber semulajadi kita yang sudah hampir kehabisan dan pencemaran-pencemaran yang kian berlaku mengakibatkan perubahan iklim yang tidak dijangka serta fenomena pemanasan global. Amalan gaya hidup sisa sifar perlu diamalkan bagi memperbaiki keadaan ini.

Gaya hidup sisa sifar ialah kaedah bagi meminimumkan penggunaan sumber yang bersifat tidak boleh diperbaharui, memelihara alam ini untuk kegunaan generasi akan datang dengan meminimumkan kemusnahan terhadap alam sekitar, pengurangan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sampah, dan menggalakkan gaya hidup yang mampan dan sihat. Konsep ini bukan hanya sekadar mengitar semula dan mengguna produk-produk kitar semula. Pada tahun 2002 tertubuhlah Badan Antarabangsa Sisa Sifar yang bermatlamatkan mendidik masyarakat dunia berkenaan konsep gaya hidup Sisa Sifar.

Matlamat komuniti sisa sifar adalah bagi mengurangkan ketoksikan bahan berbahaya sebelum dilupuskan ke alam sekitar dengan cara bersistematik. Ia boleh dilakukan dengan meminimumkan pembuangan sisa pepejal dan menggunakan teknik kitar semula serta pengguanan teknologi pengkomposan yang canggih. Dengan memulakan langkah-langkah drastik sebegini, misi ke arah gaya hidup lebih hijau (eco-friendly) dapat dijayakan.

Peralihan kepada kehidupan sisa sifar bukanlah satu perkara mudah yang boleh berlaku dalam sekelip mata, tentunya ia akan mengambil masa untuk masyarakat menyesuaikan diri dengan gaya kehidupan ini. Antara langkah permulaan untuk ke arah gaya hidup sisa sifar ialah: mengurangkan penggunaan barangan sekali pakai seperti kertas dan barangan plastik kerana menurut data terkini, ialah antara penyumbang terbesar kepada pencemaran; membahagikan sisa kepada dua kategori: barangan kitar semula dan tidak boleh dikitar semula; menggalakkan aktiviti secara berkumpulan seperti berkongsi kereta yang pasti akan menjimatkan bahan api yang tidak boleh diperbaharui dan akan mengurangkan pelepasan karbon; melakukan aktiviti seperti pengkomposan yang akan menukar sisa makanan kepada baja organik yang kemudiannya boleh digunakan untuk memperkayakan tanah yang menghasilkan lebih produktiviti pada hasil tanaman; menyertai NGO yang berkaitan dengan pembersihan alam sekitar; membantu mebersihkan sampah yang bertaburan di bandar, bersama-sama menjaga kebersihan bandar dan sentiasa berhubung dengan komuniti-komuniti yang memperjuangkan kehidupan sisa sifar.

Untuk mencapai objektif gaya hidup sisa sifar tentunya akan mengambil masa kerana ia mustahil boleh dicapai melalui usaha seseorang individu tetapi memerlukan penyertaan daripada semua lapisan masyarakat. Usaha ini perlu ditambah baik dan dipercepatkan kerana kadar 'kesihatan' alam semula jadi kita kini berada dibawah paras berbahaya. Sama-sama lakukan perubahan hari ini agar kita masih boleh mewariskan bumi yang masih sihat kepada generasi akan datang.



© STSB